Warna Tema        
Saiz Tulisan -A A +A
 

SEJARAH KEHAKIMAN DI MALAYSIA

Kehakiman Malaysia merupakan satu di antara badan kerajaan iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman yang wujud secara berasingan. Fungsi utama badan kehakiman adalah untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan dipatuhi dan menegakkan keadilan mengikut peruntukan undang-undang. Selain daripada berperanan bagi membicarakan segala masalah perundangan yang timbul di antara individu dan individu juga individu dan negara. Mahkamah-Mahkamah juga berperanan untuk mentafsir undang-undang. Tugas khas yang di pertanggungjawabkan ke atas kehakiman negara ini dijalankan mengikut dan demi menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

Sistem Kehakiman Moden Malaysia bermula apabila Royal Charter Of Justice 1807 dikeluarkan, ia memberi kebenaran bagi perlaksanaan sebuah mahkamah di Pulau Pinang. Pada 1808 sebuah mahkamah ditubuhkan di Kota Cornwallis sebelum berpindah ke bangunan tetap Mahkamah Agong setahun kemudian. Pada 1825, Pulau Pinang, Singapura dan Melaka digabungkan menjadi Negeri-Negeri Selat dan di bawah pemerintahan British. Bidang kuasa Mahkamah Agong Pulau Pinang, diperluaskan ke Singapura dan Melaka. Setibanya 1850-an, Singapura berjaya menggantikan Pulau Pinang sebagai Pusat Perdagangan Utama di Negeri-Negeri Selat. Dengan itu, Ketua Hakim juga telah berpindah ke Singapura dari Pulau Pinang.

Campur tangan British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu juga Borneo pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 menyebabkan sistem kehakiman dijayakan di negeri-negeri tersebut. Sistem Kehakiman di rantau ini ketika itu dijalankan dan dikuasai sepenuhnya oleh orang berketurunan Inggeris. Namun begitu, pada tahun 1939, Raja Musa Raja Bot menjadi Anak Watan Pertama yang diberi jawatan tinggi di dalam Sistem Kehakiman Negara. Walaupun ketika itu cuma dilantik sebagai penyandang sementara hakim di Mahkamah Agong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Mahkamah-Mahkamah di Malaya tetap menjalankan tugas ketika Malaya teruk diserang oleh tentera-tentera Jepun. Namun, Mahkamah-Mahkamah ini berhenti berfungsi apabila Jepun berjaya menguasai keseluruhan negara ini.

img

Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963, telah memansuhkan Mahkamah-Mahkamah Agong yang sedia ada ketika itu. Ia digantikan dengan sebuah Mahkamah Persekutuan yang mengabungkan Mahkamah-Mahkamah pelbagai negeri yang wujud di bawah satu bumbung. Badan Kehakiman Negara ketika itu diketuai oleh seorang Ketua Hakim Negara yang digelar Lord President ( Y.A.A. Tun Sir James Beveridge Thomson 1963-1966 ).

Menurut Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pada 1994, gelaran penyandang jawatan ini, ditukarkan kepada Chief Justice. Terdapat 3 buah Mahkamah Persekutuan pada suatu ketika dahulu iaitu Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Singapura dan Mahkamah Tinggi Borneo. Namun pada tahun 1965, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia sekali gus Mahkamah-Mahkamah menamatkan talian sistem kehakiman serantau yang wujud sekian lama. Pada suatu ketika dahulu, mahkamah tertinggi Malaysia adalah Majlis Privy, walaupun selepas kemerdekaan Malaya dan seterusnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Persetujuan yang wujud di antara Ratu England ( Ratu Elizabeth II ) dan Yang Dipertuan Agong ( Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong I Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tunku Muhammad ). Pada masa itu juga, penguatkuasaan Artikal 131 Perlembagaan Persekutuan Malaysia membenarkan rayuan bagi keputusan Mahkamah Persekutuan dirujuk kepada Majlis Privy di London. Dengan memansuhkan perjanjian ini pada tahun 1985, berakhirlah sistem kehakiman yang bergantung terhadap Sistem Kehakiman Britain.

Struktur Badan Kehakiman Malaysia boleh dipecahkan pada 2 bahagian iaitu Mahkamah Atasan dan Mahkamah Rendah. Mahkamah tertinggi di Malaysia adalah Mahkamah Persekutuan diikuti dengan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Mahkamah Rendah pula terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Kanak-Kanak. Mahkamah Khas ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan pada 20 Mac 1993. Ia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tindakan Sivil atau Jenayah yang dimulakan oleh atau terhadap Yang Di-Pertuan Agong atau raja negeri-negeri yang lain. Mahkamah tertinggi Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan kini terletak di Istana Kehakiman.

Halaman 1 dari 4