Sejarah Mahkamah Perak

SEJARAH KEHAKIMAN DI MALAYSIA

Kehakiman Malaysia merupakan satu di antara badan kerajaan iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman yang wujud secara berasingan. Fungsi utama badan kehakiman adalah untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan dipatuhi dan menegakkan keadilan mengikut peruntukan undang-undang. Selain daripada berperanan bagi membicarakan segala masalah perundangan yang timbul di antara individu dan individu juga individu dan negara. Mahkamah-Mahkamah juga berperanan untuk mentafsir undang-undang. Tugas khas yang di pertanggungjawabkan ke atas kehakiman negara ini dijalankan mengikut dan demi menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

Sistem Kehakiman Moden Malaysia bermula apabila Royal Charter Of Justice 1807 dikeluarkan, ia memberi kebenaran bagi perlaksanaan sebuah mahkamah di Pulau Pinang. Pada 1808 sebuah mahkamah ditubuhkan di Kota Cornwallis sebelum berpindah ke bangunan tetap Mahkamah Agong setahun kemudian. Pada 1825, Pulau Pinang, Singapura dan Melaka digabungkan menjadi Negeri-Negeri Selat dan di bawah pemerintahan British. Bidang kuasa Mahkamah Agong Pulau Pinang, diperluaskan ke Singapura dan Melaka. Setibanya 1850-an, Singapura berjaya menggantikan Pulau Pinang sebagai Pusat Perdagangan Utama di Negeri-Negeri Selat. Dengan itu, Ketua Hakim juga telah berpindah ke Singapura dari Pulau Pinang.

Campur tangan British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu juga Borneo pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 menyebabkan sistem kehakiman dijayakan di negeri-negeri tersebut. Sistem Kehakiman di rantau ini ketika itu dijalankan dan dikuasai sepenuhnya oleh orang berketurunan Inggeris. Namun begitu, pada tahun 1939, Raja Musa Raja Bot menjadi Anak Watan Pertama yang diberi jawatan tinggi di dalam Sistem Kehakiman Negara. Walaupun ketika itu cuma dilantik sebagai penyandang sementara hakim di Mahkamah Agong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Mahkamah-Mahkamah di Malaya tetap menjalankan tugas ketika Malaya teruk diserang oleh tentera-tentera Jepun. Namun, Mahkamah-Mahkamah ini berhenti berfungsi apabila Jepun berjaya menguasai keseluruhan negara ini.



Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963, telah memansuhkan Mahkamah-Mahkamah Agong yang sedia ada ketika itu. Ia digantikan dengan sebuah Mahkamah Persekutuan yang mengabungkan Mahkamah-Mahkamah pelbagai negeri yang wujud di bawah satu bumbung. Badan Kehakiman Negara ketika itu diketuai oleh seorang Ketua Hakim Negara yang digelar Lord President ( Y.A.A. Tun Sir James Beveridge Thomson 1963-1966 ).

Menurut Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pada 1994, gelaran penyandang jawatan ini, ditukarkan kepada Chief Justice. Terdapat 3 buah Mahkamah Persekutuan pada suatu ketika dahulu iaitu Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Singapura dan Mahkamah Tinggi Borneo. Namun pada tahun 1965, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia sekali gus Mahkamah-Mahkamah menamatkan talian sistem kehakiman serantau yang wujud sekian lama. Pada suatu ketika dahulu, mahkamah tertinggi Malaysia adalah Majlis Privy, walaupun selepas kemerdekaan Malaya dan seterusnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Persetujuan yang wujud di antara Ratu England ( Ratu Elizabeth II ) dan Yang Dipertuan Agong ( Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong I Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tunku Muhammad ). Pada masa itu juga, penguatkuasaan Artikal 131 Perlembagaan Persekutuan Malaysia membenarkan rayuan bagi keputusan Mahkamah Persekutuan dirujuk kepada Majlis Privy di London. Dengan memansuhkan perjanjian ini pada tahun 1985, berakhirlah sistem kehakiman yang bergantung terhadap Sistem Kehakiman Britain.

Struktur Badan Kehakiman Malaysia boleh dipecahkan pada 2 bahagian iaitu Mahkamah Atasan dan Mahkamah Rendah. Mahkamah tertinggi di Malaysia adalah Mahkamah Persekutuan diikuti dengan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Mahkamah Rendah pula terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Kanak-Kanak. Mahkamah Khas ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan pada 20 Mac 1993. Ia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tindakan Sivil atau Jenayah yang dimulakan oleh atau terhadap Yang Di-Pertuan Agong atau raja negeri-negeri yang lain. Mahkamah tertinggi Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan kini terletak di Istana Kehakiman.
 

 

 

 

MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menerima rayuan keputusan kes-kes jenayah atau sivil yang telah dibicarakan oleh Mahkamah Rayuan. Salah satu fungsi utama Mahkamah Persekutuan adalah untuk menentukan kesahihan undang-undang yang dikeluarkan oleh Parlimen atau Kerajaan Negeri. Ia juga mempunyai bidang kuasa bagi memutuskan perbalahan antara negeri atau di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Mahkamah Persekutuan adalah penterjemahan Perlembagaan Persekutuan dan memiliki kata putus dalam prihal penterjemahan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan bagi keputusan-keputusan yang dilaksanakan di Mahkamah-Mahkamah Tinggi.
 

 

MAHKAMAH TINGGI

Mahkamah-Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa bagi mendengar rayuan kes-kes sivil atau jenayah daripada Mahkamah-Mahkamah Rendah. Mahkamah-Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa tidak terhad dalam membicarakan kesalahan jenayah yang melibatkan hukuman mati. Mahkamah-Mahkamah ini juga mempunyai bidang kuasa tidak terhad bagi membicarakan kes-kes sivil. Pada amnya Mahkamah-Mahkamah Tinggi tidak membicarakan perkara yang jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah.

 

 

MAHKAMAH RENDAH

Mahkamah Rendah di Malaysia boleh dikemukakan dengan kes-kes kesalahan jenayah ataupun sivil. Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes jenayah kecuali kes-kes yang melibatkan hukuman mati. Para Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai bidang kuasa memutuskan kes-kes sivil mengikut peruntukan bidang kuasa Mahkamah. Mahkamah Majistret Kelas Pertama mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes-kes sivil yang tuntutannya tidak melebihi RM100,000.00. Pada umumnya Mahkamah-Mahkamah Majistret ini mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan kesalahan yang mana hukuman maksimanya tidak melebihi 10 tahun penjara dengan denda sahaja. Mahkamah Kanak-kanak yang wujud dalam bahagian Mahkamah Rendah adalah khusus bagi perbicaraan pesalah yang berumur 18 tahun ke bawah.

 

 

 

SEJARAH PENUBUHAN MAHKAMAH DI NEGERI PERAK

 

Selepas Perjanjian Pangkor ( 1874 ), Kerajaan British membuat cubaan dengan kejayaan yang agak perlahan untuk menubuhkan sistem perundangan Inggeris di Perak.

Lima tahun kemudian mereka berjaya membentuk kuasa mereka dan membina balai-balai polis ( pondok-pondok ) diikuti dengan mahkamah-mahkamah dan penjara-penjara.

Pegawai Daerah Kinta bukan sahaja bertindak sebagai Majistret Kanan Daerah malah juga sebagai Pemungut Hasil Tanah yang lebih diberi keutamaan.

Dr. H.W.C. Leech, Majistret Daerah Kinta memindahkan pejabatnya ke bahagian hulu sungai dengan membina bangunan-bangunan yang besar untuk dirinya dan kakitangannya di satu tempat yang berada di tengah-tengah Kota Bharu ( Gopeng ) di mana seseorang boleh sampai dengan menggunakan kapal wap melalui sungai dalam masa sehari dari Durian Sebatang ( Teluk Anson ).

Beliau juga membina balai-balai polis di Gopeng dan Epoh ( Ipoh ), yang merupakan kampung utama di daerah tersebut dalam tahun yang sama sehingga 1879.

Keperluan untuk pergi ke Kinta telah bermula dalam tahun 1884. Dalam tahun 1882 terdapat 4000 orang pelombong-pelombong Cina di daerah tersebut. Menjelang 1884 ia telah bertambah ke lebih 5000 orang dan dalam tahun-tahun berikutnya bertambah kepada 9000 ( 1885 ), 18,000 ( 1886 ), 25,000 ( 1887 ) dan 38,000 ( 1888 ).

Ibu pejabat Majistret Kinta telah dipindahkan ke Batu Gajah pada tahun 1884 memandangkan kawasan Kota Bharu tidak lagi bersesuaian.

Sebuah penjara dan sebuah balai polis telah dibina di Papan ( Batu Gajah ) pada tahun 1884. Majistret Batu Gajah berulang-alik seminggu sekali ke Papan dan mendengar kes-kes mahkamah di balai polis.

Pada 29 November 1887, rusuhan-rusuhan telah berlaku di Papan dan pengadilan segera diselenggarakan selepas beberapa hari berikutnya perbicaraan di hadapan Yang Amat Mulia Sultan Perak, Residen British dan Dato’ Panglima Kinta.

Dua orang kongsi telah dihukum gantung, sembilan orang kongsi dipenjarakan dan disebat serta 12 orang kongsi didenda. Setelah itu peronda-peronda polis yang terdiri daripada kaum Sikh telah diwujudkan.

Mahkamah-Mahkamah dan penjara di Papan berhenti berfungsi selepas Perang Dunia Pertama.

Bangunan dan perumahan ( quarters ) Mahkamah yang pertama bagi Majistret di Ipoh disiapkan dalam tahun 1888. Pada bulan Oktober 1888, En. E.J. Brewster memulakan Mahkamah Polis di Ipoh. Beliau mengatakan ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang awam dan polis.

Dalam bulan November 1888, En. E.J.C. Tranchell menjawat jawatan Penolong Majistret Pertama mendengar kes-kes kecil di Batu Gajah dan Gopeng tiga kali seminggu.

Sehingga 1889, terdapat tiga Mahkamah Rendah dan satu Mahkamah Rayuan di Kinta. Sehingga 1895 Ipoh telah bertukar menjadi bandar apabila pejabat-pejabat guru mula dibina dan disiapkan setahun kemudian.

Pada 14 November 1898 buat pertama kalinya Pesuruhjaya Kehakiman membuka mahkamah untuk persidangan jenayah di Ipoh.

Dalam tahun 1903 Dato Panglima Kinta Mohammed Yusof seorang pelombong bijih timah Melayu yang sangat kaya di Negeri Perak membina rumah untuk dirinya sendiri. Setelah beliau meninggal dunia rumah tersebut telah dibeli oleh Kerajaan British dan dijadikan Bangunan Mahkamah di Ipoh.

Pada 14hb. Mei 1906 En. E.W. Birch merasmikan pembukaan Bangunan Mahkamah Baru di Ipoh yang dibina dengan kukuh dari kayu balak cengal kering. Di tingkat bawah terdapat jajaran tiang-tiang batu mengelilingi bangunan tersebut dengan menempatkan pejabat Pesuruhjaya Kehakiman, Majistret dan pegawai-pegawai Mahkamah. Manakala tangga dengan ruang beranda menuju ke bahagian atas mahkamah-mahkamah. Bangunan ini merupakan salah satu yang terbaik yang paling selesa di Persekutuan Tanah Melayu. Bangunan Mahkamah ini terletak di Jalan St. John’s bersebelahan Goodsheds Keretapi.

Majistret yang pertama yang memulakan tugasnya di Bangunan Mahkamah Baru ini adalah Mr. E.A. Cooper seorang berbangsa Inggeris yang fasih dalam Bahasa Melayu dan Gurmukh ( Punjabi ). Seorang Majistret tambahan telah dilantik pada tahun 1915 untuk menyelesaikan kes-kes tertunda yang semakin bertambah semenjak tahun 1904.

Mahkamah Agung kemudiannya dipindahkan ke Pejabat Pelajaran di Jalan Maxwell ( Bangunan Lama ) memandangkan keadaan di bangunan mahkamah di Jalan St. John’s terlalu bising kerana berada terlalu hampir dengan landasan kereta api. Dari situlah Mahkamah Agung buat pertama kalinya dipisahkan daripada Mahkamah Rendah.

Pada tahun 1941, mungkin kerana kedudukan Mahkamah Rendah ini berdekatan dengan tangki-tangki minyak petrol, Mahkamah ini telah dibom oleh pihak Jepun dan ia telah musnah sama sekali.

Semasa pendudukan Jepun, Mahkamah Rendah ini telah ditempatkan di bangunan kayu di mana Masjid Negeri berada sekarang.

Dalam tahun 1947 kedua-dua Mahkamah Majistret dan Mahkamah Daerah berpindah ke bangunan baru yang dibina sementara di antara Stesen Keretapi dan Balai Polis. Lokasi ini adalah di mana Hospital Ipoh yang pertama diwujudkan sebelum Hospital Ipoh berpindah ke Jalan Anderson/Jalan Ashby.

Dalam tahun 1952, bangunan dua tingkat di Jalan Kelab yang diduduki oleh Mahkamah dan Kelab Pos dan Telegram telahdiserahkan kepada Mahkamah. Dengan itu sebuah Mahkamah Trafik telah diwujudkan di mana ia ditempatkan di tingkat atas. Oleh itu jumlah Mahkamah yang ada pada masa itu adalah sebanyak 4 buah.

Majistret tempatan yang pertama ialah Tun Mustapha Albakri Bin Haji Hassan. Beliau merupakan Majistret Kelas Kedua. Manakala Pegawai Perkhidmatan Awam Malaya yang pertama memegang jawatan majistret adalah Tun Ismail Bin Mat Shah.Mahkamah-Mahkamah Rendah berpindah ke bangunan baru sekarang, pada 1hb. Julai 1975.

 

 

 

SEJARAH MAHKAMAH SESYEN/MAJISTRET IPOH PERAK

 

Pengenalan

Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Al Mutawakkil Allallahi Shah Ibni Al Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah pada hari Isnin 9hb. Ogos, 1976. Bangunan baru ini terdiri daripada bangunan dua tingkat dan terletak bersebelahan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan berhadapan dengan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan Kelab Golf Di Raja Perak.

Mahkamah-Mahkamah Rendah berpindah ke bangunan baru pada 1hb. Julai 1975 dan terdiri daripada 2 Mahkamh Sesyen dan 4 Mahkamah Majistret termasuk Mahkamah Trafik. Mahkamah Sesyen/Majistret  Ipoh bertindak sebagai Pusat Tanggungjawab kepada 25 buah Mahkamah termasuk 5 buah Mahkamah Tinggi

( Ipoh dan Taiping ), 6 buah Mahkamah Sesyen serta 14 buah Mahkamah Mahkamah Majistret. Sebagai Pusat Tanggungjawab Mahkamah Sesyen Ipoh menguruskan semua hal-hal Pentadbiran, Perkhidmatan, Kewangan dan Pembangunan bagi semua Mahkamah Seluruh Negeri Perak.

 

Sejarah Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh Perak

Selepas Perjanjian Pangkor dalam tahun 1874, pihak British telah membuat cubaan dengan kejayaan yang agak perlahan untuk menubuhkan sistem perundangan Inggeris di Negeri Perak. Sehingga 1889 terdapat tiga Mahkamah Rendah dan satu Mahkamah Rayuan di Daerah Kinta. Apabila Ipoh telah bertukar menjadi Bandar pada sekitar tahun 1895, banyak bangunan-bangunan mula dibina termasuklah kediaman Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof, seorang pelombong bijih timah Melayu yang kaya di Negeri Perak di atas tapak bangunan Mahkamah ini. Selepas beliau meninggal dunia dalam tahun 1903, kerajaan British telah membeli tapak kediaman tersebut dan membina bangunan ini yang dahulunya dikenali sebagai “Supreme Court”, Ipoh.

Bangunan Mahkamah ini dibina kukuh daripada kayu balak cengal kering dengan dikelilingi oleh jajaran tiang-tiang batu. Bangunan ini merupakan salah satu daripada yang terbaik dan paling selesa di Persekutuan Tanah Melayu. Bangunan ini terletak di Jalan St. John bersebelahan dengan Goodsheds keretapi.

Pada masa itu Mahkamah Rendah dan “Supreme Court” berada di bawah satu bangunan yang sama. Memandangkan kedudukan bangunan ini yang berhampiran dengan laluan keretapi dan mendatangkan gangguan bunyi bising, “Supreme Court” Ipoh kemudiannya dipindahkan ke Jalan Maxwell ( sekarang Jalan Tun Abdul Razak ). Dari situlah buat pertama kalinya Supreme Court Ipoh dipisahkan daripada Mahkamah Rendah.

 

Sejarah Mahkamah Rendah ini bermula pada 14 Mei 1906 di mana Encik E.W. Birch telah merasmikan pembukaan bangunan Mahkamah ini, iaitu bangunan yang terletak di Jalan St. John bersebelahan dengan Goodsheds keretapi. Di bangunan ini terdapat Pejabat Pesuruhjaya Kehakiman, Pejabat Majistret dan Pegawai-Pegawai Mahkamah.

Majistret pertama di bangunan Mahkamah baru ini ialah Mr. E.A. Cooper seorang berbangsa Inggeris yang fasih dalam Bahasa Melayu dan Punjabi. Seorang Majistret tambahan telah dilantik pada 1915 untuk menyelesaikan kes-kes tertunda.

Pada 1947, sebuah bangunan sementara dua tingkat telah dibina dan kedua-dua Mahkamah Majistret dan sebuah Mahkamah Daerah telah ditempatkan di bangunan ini.

Dalam tahun 1952, bangunan dua tingkat ini telah diserahkan kepada Mahkamah di mana sebelum itu diduduki oleh Kelab Pos dan Taligram. Dengan itu sebuah Mahkamah Trafik telah diwujudkan di mana ia ditempatkan di tingkat atas. Oleh itu jumlah Mahkamah yang ada pada masa itu adalah sebanyak 4 buah. Majistret tempatan yang pertama ialah Tun Mustapa Albakri bin Haji Hassan. Beliau merupakan Majistret Kelas Kedua. Pegawai Perkhidmatan Awam Malaya yang pertama memegang jawatan Majistret adalah Tun Ismail bin Mat Shah.

Mahkamah-Mahkamah Rendah berpindah ke bangunan baru sekarang, pada 1hb. Julai 1975. Bangunan baru tersebut terdiri daripada 2 Mahkamah Sesyen dan 4 Mahkamah Majistret termasuk Mahkamah Trafik. Pada tahun 1990 bilangan Mahkamah Sesyen telah bertambah menjadi 3 buah dan pada tahun 1995 bilangan Mahkamah Majistret telah bertambah menjadi 5 buah.

 

 

Total visitors to the Portal : 82,911
  • Your IP: 54.80.140.5
  • Last updated : 23 September 2017